Gunung Chintawangsa pusat pemerintahan.

Sambungan lepas...


Cik Siti Wan Kembang dikawal sejumlah hulubalang wanita yang gagah dan setia HASIL kajian penyelidik Muzium Negara, N A Halim, mendapati Cik Siti Wan Kembang dikatakan memindahkan pemerintahannya dari Pulau Sabar ke sebuah tempat jauh di pedalaman iaitu Gunung Chintawangsa, terletak di tenggara Kuala Krai, Kelantan.
Pulau Sabar mengikut sesetengah ahli sejarah, dipercayai sebagai pusat pemerintah Sultan Kelantan pertama iaitu Maharaja K'Umar atau disebut Raja K'Umar, sekitar 1411.

Pulau itu dikatakan terletak di tengah-tengah Sungai Kelantan berhampiran Kampung Laut dan kini sudah tenggelam.

Pemindahan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang dari Pulau Sabar ke Gunung Chintawangsa dianggap ganjil kerana kebiasaannya raja zaman dulu memilih lokasi berhampiran sungai bagi memudahkan pengangkutan dan perhubungan.

Namun, raja perempuan itu menganggap Gunung Chintawangsa lebih selamat dan tenteram daripada sebarang gangguan luar terutama kerajaan Siam yang dianggap kuasa besar ketika itu.

Satu perkara yang sukar dikesan sepanjang pemerintahan Cik Siti Wan Kembang ialah untuk mengenal pasti kedudukan sebenar beliau bersemayam kerana dikatakan ada dua gunung di Kelantan dengan nama Gunung Ayam.

Kedua-dua gunung itu ialah di Gua Musang dan dekat dengan sempadan Terengganu. Tempat berkenaan sukar dilakukan penyelidikan kerana terletak jauh di pedalaman.

Walaupun Cik Siti Wan Kembang dikatakan bersemayam jauh di Hulu Kelantan, namun ada sebuah makam di perkuburan Banggol dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, dikatakan makamnya.

Makam berkenaan dikatakan cantik, dibina menggunakan batu pejal serta berukir, disebut orang di situ sebagai makam Cik Siti.

Tinjauan Berita Minggu mendapati makam itu sudah dipagar tetapi keadaannya tidak terurus terutama dari segi kebersihan. Banyak sampah sarap di sekitarnya bagaikan tidak ada penjaga.

Kesahihan itu adalah makam Cik Siti Wan Kembang, belum dapat ditentukan memandangkan banyak kajian perlu dilakukan mengenainya.

Seorang bekas penggali kubur di makam itu, Pak Dir Abdullah, berkata pada zaman dulu, Kampung Telaga Gajah, tempat terletaknya makam itu, dikelilingi hutan.

Beliau yang berusia lebih 100 tahun itu berkata, ketika itu, orang kampung di sekitar makam berkenaan bekerja menangkap ikan dan pada masa lapang pergi mencari rotan di hutan berkenaan.

"Ketika mencari rotan, mereka terhidu bau yang harum dan menemui makam yang diatasnya tertulis nama Cik Siti Wan Kembang. Lalu tempat itu dibersihkan untuk dijadikan tanah perkuburan.

Namun pihak Perbadanan Muzium Negeri Kelantan menafikan kubur berkenaan adalah makam Cik Siti Wan kembang.

Penolong Kuratornya, Abustarim Yaacob, berkata kajian muzium negeri mendapati tidak ada asas makam itu adalah pusara Cik Siti Wan Kembang.

Katanya, mengikut sejarah, hayat Cik Siti Wan Kembang tidak diketahui penghujungnya dan dengan itu tidak tahu di mana kedudukan sebenarnya kubur beliau.

"Apa yang ada di makam dekat Banggol itu adalah makam orang lain yang mempunyai nama seperti Cik Siti Wan Kembang dan beliau dikatakan adalah seorang gundik raja," katanya.

Sebagai pemerintah yang disayangi rakyat, Cik Siti Wan Kembang membina sebuah kota dikenali dengan Kota Jelasin, menggunakan kayu tebal yang diukir tukang ukir terkenal zaman itu.

Kota yang dibuka pada 1563 dengan kubu pertahanan dibina berhampirannya manakala parit yang dalam digali dengan timbunan tanah tinggi dibuat sebagai benteng pertahanan.

Mengikut sejarah, kota ini pernah diserang Raja Siam yang iri hati terhadapnya kemajuannya hingga menyebabkan kemusnahannya.

Cik Siti Wan Kembang dikatakan seorang pemerintah yang gagah. Walaupun seorang perempuan, beliau berjaya mengekalkan pemerintahannya sebagai pemimpin negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Kegagahan pemerintahannya dapat diketahui melalui jumlah hulubalang yang keseluruhannya wanita dan mereka sentiasa berada di sisinya di mana saja beliau berada.

"Kegagahan pahlawan ketika itu dilihat kepada jumlah hulubalangnya dan ini ketara kepada Cik Siti Wan Kembang yang mana mempunyai hulubalang wanita yang setia kepadanya," kata Abustarim.

Bagi mendapatkan gambar atau wajah Cik Siti Wan Kembang, penulis, jurugambar dan pegawai Perbadanan Muzium Negeri Kelantan terpaksa membuka semula mural bekas pemerintah Kelantan itu yang dibaluti kain putih.

Abustarim berkata, mural berkenaan sudah dua atau tiga tahun ditutup dengan kain itu setelah tidak ada acara berkaitan dengan sejarah pemerintahan negeri ini.

"Memandangkan mural berkenaan terletak di dewan pameran sementara, ia adalah tidak sesuai untuk dipamerkan pada masa pameran tertentu.

"Mural berkenaan hanya sesuai untuk dipamerkan pada pameran berkaitan dengan sejarah pemerintahan negeri ini saja. Sebab itu kita tutup dengan kain itu.

"Satu lagi sebab ialah untuk memastikan supaya mural berkenaan sentiasa berada dalam keadaan bersih memandangkan ia begitu bernilai kepada pihak muzium," katanya.


Pakaian tradisi dipamer di PBB

Perbadanan Muzium Negeri Kelantan akan membawa Cik Siti Wan Kembang ke New York, Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memperkenalkan pakaian tradisional Kelantan ke peringkat antarabangsa.

Penolong Kurator, Abustarim Yaacob, berkata Cik Siti Wan Kembang akan diperkenalkan menerusi pakaiannya termasuk pelbagai aksesori lain seperti keris, gelang dan pemeleh.

Katanya, pakaian ini akan dipertontonkan bersama tekstil Kelantan lain seperti batik dan songket kepada rakyat AS di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) bermula esok hingga 4 Mei ini.

"Pameran bertemakan Tekstil Malaysia - Kelantan akan memaparkan pakaian tradisional termasuk yang dipakai Cik Siti Wan Kembang dan tekstil lain yang dihasilkan dari Kelantan," katanya.

Pameran ini diadakan bersempena Pesta Makanan Kelantan yang dijangka dilancarkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Pameran akan menumpukan kepada produk tekstil yang dihasilkan di Kelantan membabitkan sejarah pemakaian ketika di zaman pemerintahan silam sehingga kini.

Selain itu, turut ditonjolkan ialah kaedah penghasilan produk berkenaan serta kegunaan pada masa ini terutama kemajuannya yang bersesuaian dengan perubahan zaman.

Comments

Popular posts from this blog

Cik Wan Kembang